Agi Idup Agi Ngelaban
origami.easyjournal.com
December 2006
SuMoTuWeThFrSa
     12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930
31      

Powered by Easyjournal
 
December 27, 2006
Bagaimana Agaknya Tahun 2007?
Setahun lagi berlalu. Di tahap manakah kedudukan kita pada penghujung tahun 2006, pencapaian yang lebih baik dari tahun yang lepas, taraf kehidupan kita telah meningkat, masalah yang menghantui kita telah dapat di atasi, apa saja, adakah ada peningkatan dalam kehidupan kita? Soalan-soalan yang biasa kita dengar, kita bertanya dan kita di tanya, tetapi realitinya amat sukar untuk memberi jawapan yang tepat. Aku kata begitu kerana berat rasanya diri kita untuk menerima kenyataan sekiranya kita ini kurang berjaya, niat kita tidak sampai, impian kita hancur berkecai, dan sebagainya. Dalam keadaan itu, jawapan yang di beri apabila di tanya hanyalah seperti melepaskan batuk di tangga sahaja dengan harapan topik itu di tutup segera!

Buat diri aku, tahun 2006 ini secara umumnya keadaan seperti biasa. Walaubagaimana pun dari segi pencapaian peribadi, aku tidak boleh mengatakan yang aku telah berjaya sepenuhnya. Dalam penilaian aku, keadaan kewanganlah yang paling meruncing, terutamanya apabila syarikat di mana aku bekerja menghadapi masalah kewangan yang ujud dari tahap kecekapan pengurusan kewangan yang lemah. Akibatnya gaji di bayar lambat dan telah menjejaskan urusan kewangan diri sendiri. Aku terpaksa memberi seribu satu alasan kepada bank-bank kenapa ansuran bayaran tidak dapat dijelaskan mengikut jadual. Bank tetaplah bank...hutang tetap kena bayar. Cuba lewatkan bayaran ansuran, bertalu-talu panggilan bank akan menyusuli selepas tarikh bayaran sampai walau pun ansuran yang belum di jelaskan itu hanyalah untuk bulan terkini dan tidak ada yang tertunggak.

Hal-hal kewangan ini sensitif pada sesetengah orang. Pada aku yang tidak termasuk dalam yang kurang berduit ini, tak nampak apa pun yang sensitifnya. Ada kemampuan untuk membantu, aku bantu dan di sebaliknya sekiranya keadaan tidak mengizinkan. Dalam hal ini, keperluan untuk meminjam aku rasa adalah bersifat universal, seumur hidup aku atau pun semenjak aku tahu erti duit, aku tidak pernah lagi berjumpa orang yang tidak pernah berhutang. Mungkin ada, tapi aku rasa itu bukan dari gulungan seperti aku yang kadang-kadang terpaksa juga berhutang untuk memastikan perjalan hidup tidak terjejas. Pembayaran gaji yang sangkut-sangkut pada tahun 2006 ini adalah punca utama pengurusan kewanganku jadi kucar kacir. Apabila gaji dibayar lambat, sudah pastilah pembayaran lain terjejas sama. Ini belum masuk lagi bayaran api, air dan lain-lain keperluan harian lain yang memerlukan wang tunai. Inilah agaknya hakikatnya orang yang bekerja dengan pendapatan bulanan atau kerja makan gaji. Hidupnya berputar dalam persekitaran gaji yang dibayar pada penghujung bulan itu untuk terus hidup. Mereka yang ada punca pendapatan lain mungkin tidak terasa sangat kerana sekurang-kurangnya dapat juga membantu. Malangnya aku tidak ada sumber pendapatan lain melainkan gaji yang aku terima pada penghujung tiap-tiap bulan itu saja. Selama aku bekerja tidak pernah pula aku menghadapi masalah ini, tahun 2006 ini memberi kesedaran untuk diri aku betapa peritnya hidup ini kalau bergantung kepada orang lain dan tidak ada persediaan untuk keadaan-keadaan seperti ini. Itulah hakikatnya, selagi kita bermajikan selagi itulah apa yang aku alami pada tahun 2006 boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

Tahun 2006 ini juga telah memperlihatkan kegagalan aku untuk mencapai hasrat aku. Aku tahu sebab-sebabnya dan tiada sesiapa pun boleh aku salahkan. Mungkin aku tidak berani menghadapi realiti atau aku tidak sanggup lagi berdepan dengan masalah yang berlaku berterusan dalam usaha untuk mencapai hasrat aku itu. Apa saja, aku akui aku kecundang dalam hal ini dan melukai hati yang amat berharap dan menghampakan hati-hati yang lain bersama. Aku lihat kegagalan aku itu sebagai satu pengajaran yang paling berharga. Apa saja yang kita hajatkan di dunia ini, Allah yang Maha Esa menentukan samada apa yang kita mohon itu akan menjadi kenyataan atau di sebaliknya. Kita hanya mampu berusaha dan berdoa agar permintaan kita itu di makbulkan. Aku masih tidak putus harapan walaupun keadaan semasa memaksa aku bertindak berlawanan dari kehendakku. Segala tindakan yang aku ambil hanyalah sekadar untuk tidak membiarkan masalah yang aku lalui selama ini berpanjangan, sekurang-kurang aku ada ruang untuk menenangkan fikiran aku dan memikirkan semula apa yang perlu aku buat untuk memastikan kali ini aku tidak kecundang lagi.

Bagaimana Agaknya Tahun 2007? Waullahwa’lam. Pada zahirnya hanya bertukar hari dari 31 Disember kepada 1hb Januari. Hari itu pasti akan tiba selagi dunia belum kiamat. Untuk diri aku, ia merupakan satu titik permulaan mengorak langkah memperbaiki kelemahan-kelemahan yang telah aku lalui dan memberi semangat baru untuk berusaha dengan lebih gigih lagi supaya segala kegagalan yang aku alami pada 2006 dapat aku atasi. Semua itu dengan kehendak Allah yang maha Esa. Berjaya atau tidak hanya masa yang menentukan. Apa saja, hidup mesti di teruskan, bersyukur dan reda atas apa saja pemberian Allah. Tiada gunanya kita buat ketetapan itu dan ini tetapi akhirnya tidak kemana juga. Pada aku lebih baik membuat penilaian dan mengakui kegagalan dan kelemahan supaya dapat di perbaiki dimasa hadapan. Moga-moga segala usaha kita pada tahun hadapan di berkati dan dirahmati Allah dan segala usaha kita beroleh kejayaan.

Salam hormat.


December 4, 2006
Hajat Yang Tak Kesampaian

Satu topik yang tak pernah kurang daya penarikan nya adalah kisah cinta dan kasih sayang. Dari segi tulisan, tayangan di TV, filem, apa saja, semua jenis media memberi liputan yang amat luas keatas aspek ini. Kenapa ini berlaku? Cuba kita tanya diri kita sendiri, jawapan nya pasti sama. Kehendak asas naluri manusia itu ingin mengasihi dan di kasihi. Selain dari makan dan minum untuk keperluan fisikal, kasih sayang juga merupakan keperluan spiritual manusia itu.

Tetapi perlu ingat, kasih sayang amatlah kompleks kerana ia melibatkan perasaan yang begitu abstrak. Tidak mungkin seseorang itu mengetahui semua fakta-fakta yang berkaitan dan seterusnya dapat membuat keputusan atau mengambil tindakan yang tepat dalam hal ini. Tambahan pula, tiap-tiap manusia berbeza-beza pendapat dan cara menyelesaikan masalah kasih sayang, berjaya atau tidak bergantung kepada yang empunya diri. Rakan-rakan dan saudara mara hanya boleh menasihati, kesudahan nya terletak kepada diri kita sendiri.

Terus terang aku katakan aku bukanlah pakar dalam hal ini. Apa saja anugerah kasih sayang yang Allah kurniakan aku terima se ada-adanya kerana aku tahu aku tak mampu untuk membuat hurian, membuat analisis dan membuat kesimpulan tentang anugerah Allah itu, apa lagi untuk menilai manusia itu sendiri. Aku pun tidak mampu untuk mempersoalkan ketetapan dan penentuan Allah itu, hanya sekadar memandang cinta dan kasih sayang dari persepsi aku sendiri dan orang-orang yang terlibat dengan nya.

Cuma kadang-kadang aku terfikir juga, sejauh mana agaknya seseorang itu sanggup mempertahankan cinta dan kasih sayang yang ada padanya. Aku utarakan cerita ini kerana ada terbaca dalam majalah beberapa bulan dulu. Ceritanya bergini, seorang lelaki yang sudah berkeluarga berkawan dan kemudian saling jatuh cinta dengan bekas teman sepejabat. Hubungan mereka di tentang hebat oleh si isteri sampai menggunakan ubat guna-guna dan memaksa si suami membuat sumpah bertulis untuk cuba memutuskan hubungan kedua-kedua mereka. Si suami dalam keadaan serba salah, kalau diteruskan, si isteri minta berpisah, kalau tidak di teruskan dengan wanita tersebut, tidaklah kesampaian hajatnya. Contoh seperti ini adalah cerita biasa kehidupan manusia yang terpaksa berhadapan dengan membuat keputusan untuk memilih. Memilih kekasihnya bermakna runtuhlah rumah tangga yang telah dibina sekian lama kerana si isteri tidak sanggup bermadu.

Aku tertanya-tanya, kenapa ia terjadi begitu? Puncanya, samada masalah dalaman atau luaran, tindakan dan cara yang telah di ambil untuk mengatasinya, samada cara ynag betul atau tidak dan apakah kesudahan nya. Aku tidak menyebelahi mana-mana pihak tapi pada amnya dalam keadaan begini adakah mungkin hukum Allah di ketepikan? Aku rasa amat sukar seseorang isteri itu rela dimadukan walaupun sedia menerima hakikat ajal maut, jodoh pertemuan dan rezeki itu penentuan Allah semata-mata. Seperkara lagi, kasih sayang seorang isteri kepada suaminya memang tidak boleh dipertikaikan, itulah tempat mengadu, tempat bermanja dan tempat untuk menumpang kasih. Tetapi sampai sanggup mengenakan suami dengan ubat guna-guna, bukankah itu mengenepikan hukum Allah? Dan boleh juga kita menilai samada si isteri telah menjaga si suami dengan sempurna dan sebaliknya?

Seperti yang aku kata, perkara ini amat komplek dan rasanya tak mampu untuk memberi jawapan yang tepat. Mungkin lebih baik, tinggalkan masalah orang dengan orang. Hanya aku ingin mengambil iktibar keatas cerita ini kerana ianya dalam satu keadaan di mana apa yang akan kita buat sekiranya kita berada didalam keadaan itu. Aku rasa amat sukar untuk sesiapa sahaja membuat sesuatu keputusan yang tepat dan adil dalam hal ini. Tetapi hanya satu yang aku yakin, penentuan dan kesudahan yang akan di tentukan oleh Allah mengatasi segala-segalanya, bukan manusia ynag menentukan. Cuma sanggup atau tidak mengharungi jalan yang penuh dengan onak dan duri yang akan menimbulkan seribu satu macam cabaran sebelum mencapai kejayaan atau pun sebaliknya.

Salam hormat.
November 20, 2006
Beli Kereta Tak Ada Signal Ke?

Terima kasih kepada pelayar-pelayar yang sudi membaca tulisan aku. Aku cuba untuk menulis aspek-aspek kehidupan yang kita, sebagai orang biasa lalui tiap-tiap hari, samada ianya logik dan masuk akal, terpulanglah pada pembaca. Berapa ramai di antara kita yang memandu kereta? Dan berapa ramai pula di antara kita yang memberi isyarat untuk memotong atau membelok ke kiri atau ke kanan? Tindakan yang kecil sahaja tetapi amat bermakna untuk pemandu yang menunggu untuk keluar dari simpang, kerana jangkamasa yang tak sampai 10 saat itu akan menentukan samada dia dapat keluar atau kena menunggu seminit atau dua lagi.

Aku selalu terkena dalam keadaan begitu. Terpaksa tunggu di simpang untuk belok ke kanan kerana menjangkau kereta yang lalu akan terus tetapi sebenarnya kenderaan itu membelok. Sakitnya hati, sekurang-kurangnya sekiranya pemandu memberi isyarat, dapatlah kita mencelah masuk sekiranya ada peluang. Itu belum masuk lagi menukar lorong, berhenti atau menunggu di lorong laluan semasa memandu! Aku rasa mahu saja menahan kereta tersebut dan bertanya keretanya semasa beli dahulu tampa lampu isyarat ke? Mula lah menyumpah seranah kerana pada aku pemadu itu hanya mementikan diri sendiri sahaja. Aku rasa hal ini terjadi kepada semua, baik pemandu itu sendiri atau pun yang datang dari arah bertentangan.

Aku pun hairan apa yang di ajar di kelas memandu atau pun semasa mengambil ujian memandu. Adakah pelajar di ajar hanya untuk mendapat lesen dan belajar praktik di jalan raya selepas lulus dan mendapat lesen. Atau pun sikap pemandu itu sendiri yang tidak mementingkan kesantunan semasa memandu. Apa saja, aku berpendapat sikap pemandu perlu di ubah untuk memudahkan pemandu lain dan mengurangkan risiko bahaya di jalanraya. Undang-undang sahaja tidak bermakna tampa perlaksanaan yang mencukupi, aku pun memahami setakat mana sesuatu undang-undang itu dapat di laksanakan oleh pihak yang berkuasa. Kalau kita sebagai manusia biasa sendiri tidak mengambil pusing tentang perkara kecil seperti ini, bagaimanakah kita hendak mengharap orang lain melaksanakan nya pula. Salam hormat